Full Time Muslim
Petikan daripada laman web NowWhyTwo Moscow
Alhamdulillah.. bertemu kembali..
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, artikel ini dapat disiapkan, walaupun mungkin tidak seberapa dan tidak terlalu menarik untuk dibaca. Tetapi insya Allah ada beberapa perkara yang ingin disampaikan. Sebenarnya peringatan ini terlebih dahulu ditujukan kepada diri penulis sendiri, dan seterusnya kepada pembaca-pembaca atau pun saudara-saudari se-islam yang dikasihi…
Perkara-perkara yang akan diutarakan adalah sebenarnya diambil daripada luahan-luahan hati, peringatan, serta cerita-cerita yang telah dikongsi oleh sahabat-sahabat penulis pada dalam sesi tazkirah selepas solat fardhu Isya’ secara berjemaah.
“Marilah kita berfikir sebentar…”
Terlintas suatu ayat dalam ingatan penulis, dalam surah al-Baqarah [2:208]… ayat ini merupakan ayat yang paling ‘famous’ dalam tazkirah-tazkirah yang lalu… Mari kita selami dan hayati kandungan dalam ayat ini:
“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan ; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang nyata.”

No Part Time Muslim ye!!
Baiklah, mari kita sama-sama perhatikan dan fikirkan sedalam-dalamnya apakah iktibar yang dapat kita ambil dalam ayat ke 208 ini. Saudara-saudari seaqidah yang dikasihi, mesej yang ingin disampaikan oleh Pencipta kita ini ’simple’ sahaja.. Dia menghendaki kita, yang mengaku beriman kepada-Nya, yang mengaku beriman kepada rasul-rasul-Nya, yang mengaku beriman kepada kitab-kitab-Nya, dan yang lain-lain… supaya memasuki islam secara keseluruhan, dalam kata lain dengan sepenuhnya. Apakah maksudnya?
Saudara, dalam kehidupan seharian kita, sejak kita lahir lagi, kita katakan dengan penuh yakin bahawa kita telah mengenali pencipta kita, pencipta Deen ini.. Sejak kecil lagi kita diasuh, dijaga, dididik oleh ibu bapa kita supaya apabila kita dewasa kelak, kita dapat menjadi seorang manusia yang mulia.. supaya menjadi seorang manusia yang bermanfaat kepada manusia yang lain… dan yang paling penting sekali, supaya kita menjadi seorang muslim yang sejati. Penulis yakin semua ibu bapa berharapkan seperti itu.
Di bangku sekolah pula, kita semakin lama semakin mengenali banyak perkara. Kita mula belajar bagaimana untuk menjadi seorang yang berilmu, kita mula cinta akan ilmu, kita telah menanam cita-cita yang tinggi iaitu untuk menjadi seseorang yang Berjaya di dunia dan di akhirat…
Alhamdulillah.. akhirnya Tuhan telah berikan kepada kita apa yang kita impikan. Sungguh Pemurah Pencipta kita ini. Dia sering memberi apa yang kita hajati, Dia sentiasa bersama-sama kita semasa kita susah, semasa kita berduka, semasa kita bersendirian. Hakikatnya kita tidak begitu. Syaitan (musuh kita yang nyata sejak dari keturunan Adam lagi) telah berusaha untuk menyesatkan kita, ia sering menabur janji-janji kosong yang akhirnya membinasakan kita juga. Ia menghiasi diri kita dengan keseronokan, dengan kegembiraan, dengan keselesaan sehinggakan kita tidak lagi peduli akan Pencipta kita. Kita lupa akan janji-janji kita kepada-Nya semasa sebelum kita lahir lagi. Kita tidak lagi hidup dalam cara hidup yang telah disediakan oleh-Nya.
Itulah yang dimaksudkan dengan memasuki islam atau pun cara hidup yang paling’perfect’ bagi manusia. Allah menghendaki kita menjadi hamba-Nya secara keseluruhan, menjadi seorang muslim ‘full-time’..
Bukan sekadar menjadi muslim apabila di atas tikar sembahyang, bukan sekadar muslim ketika membeli makanan halal, bukan sekadar muslim ketika menyambut Ramadhan dan banyak lagi contoh yang dapat kita berikan.
Saudara-saudari, ketahuilah angkatan tentera syaitan sejak dari dulu lagi sudah menunggu di pintu sempadan, untuk menunggu manusia-manusia yang belum lagi memasuki islam secara sepenuhnya. Dalam ‘part’ kedua ayat tersebut, Allah melarang kita daripada mengikuti langkah-langkah syaitan. Seperti yang kita ketahui syaitan adalah sesuatu yang membisik kejahatan ke dalam dada-dada manusia, seperti yang diterangkan dalam surah An-Nas[114:1-6]. Jadi, ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan islam. Mahukah kita menjadi sepertinya?
Sebelum penulis mengakhiri kata-kata, marilah kita sama-sama merenung kembali, merenung semula ayat dalam surah Al-Baqarah [2:208] ini. Ayuh, lakukanlah perubahan dalam diri kita, mari kita menjadi seorang muslim yang seluruh kehidupannya selama 24 jam satu hari, 7 hari seminggu, menyerahkan diri kepada cara hidup islam, deen yang diturunkan oleh Allah ini.
Ayuh, jangan berlengah lagi!
Wallahu’alam.